“Abang,
atap rumah kita sudah bocor. Dapur sudah masuk dua hari tak berasap” rungut si isteri.
“Apa
kita nak buat sekarang?” tanya si isteri lagi.
“Marilah
berzikir, sayang. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar…!” jawab si suami.
“Apa
abang ni? Orang cakap betul-betul, dia main-main pula” marah si isteri.
Itu
bukan jawapan yang diharapkannya. Ketika hati panas mengeluh tentang kemiskinan
dan kesusahan hidup, sepatutnya seorang suami mendatangkan idea-idea yang boleh
mengubah keadaan. Biarlah ada perancangan tentang menambah kerja, berniaga
pasar malam atau apa sahaja.
Tapi
bukannya wirid-wirid! Zikir-zikir!
“Bukankah
di dalam al-Quran Allah sudah berjanji” si suami mempertahankan pendiriannya.
Mungkin
dia merujuk kepada firman Allah:
“…ketahuilah
dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia” [al-Ra'd 13: 28]
“Yelah
tu, bang! Nanti kalau anak kita menangis kelaparan, abang suap dia dengan biji
tasbih ya!” sindir si isteri.
Si
suami termenung. Cakap isterinya makin melalut. Dalam suasana begini, jangan
dipanjang-panjangkan bahas dan debat. Nanti makin jauh tersasar dari jalan
kebenaran.
Walaupun
hatinya panas mendengar celoteh isteri, tetapi terdetik juga di fikiran.
Tenangkah hati kalau semasa perut lapar dan rumah bocor, mulut berzikir dan
bertasbih. Kalau semasa menerima bil demi bil pada hujung bulan, terhapuskah
tekanan dengan zikrullah? Pahala tu pahala juga. Tetapi duit tetap nak kena
cari.
Maha
Suci Allah daripada sifat mungkir janji. Sudah diberitakan-Nya bahawa zikir itu
mengundang tenang.
Subhanallah…
tidak mungkin ayat itu menipu.
Maha
Suci Allah daripada memberikan penyelesaian yang tidak praktikal.
Maha
Suci Allah daripada menjadikan tubuh badan manusia berkehendakkan makanan,
tetapi disuap-Nya dengan zikir semata-mata.
“Eh,
sudah empat kali aku menyebut Subhanallah! Kalau Allah Subhanahu wa Taa’la itu
Maha Suci daripada segala sifat tadi, tentu sahaja silapnya ada padaku. Aku
yang patut mencari di mana kelemahan aku dalam merancang kehidupan” kata si
suami.
“Alhamdulillah…
tenang sikit rasa hati” monolognya sendirian.
Setelah
perasaan, fikiran dan sangkaan yang negatif tentang kehidupan ini (tentang
Allah barangkali) disembuhkan, barulah terbuka matanya untuk melihat satu demi
satu nikmat yang hakikatnya masih banyak dan menanti untuk dimanfaatkan bagi
memperbaiki kehidupan.
Masih
sihat.
Masih
bertangan dan berkaki.
Masih
bermata dan bertelinga.
Masih
punya banyak kurniaan yang diberikan Allah secara percuma untuk diguna.
Alhamdulillah!
Terpacul
ungkapan yang memuji Allah. Bahawa kesusahan yang dialami bukan kerana zalimnya
Allah ke atas diri, tetap sebagai peringatan ke atas diri yang sudah lama
menzalimi diri sendiri, kerana tidak menggunakan sepenuhnya segala nikmat yang
diberi.
Alhamdulillah!
Syukur
kepada Allah, dirinya tidak jadi sinikal seperti si isteri. Fikirannya dapat
diluruskan dan Alhamdulillah beliau mendapat kekuatan untuk berfikir dan tidak
berputus asa.
“Allahu
Akbar! Allah tidak tipu. Aku sudah
tenang. Ayat itu benar. Aku mesti mengajak isteriku sama. Dalam zikir mesti ada
fikir. Baru tenang hati dan tenang minda,” kata si suami.
FORMULA
DI SEBALIK WIRID
Benar…
kisah di atas sepatutnya bukan kisah yang asing.
Ketika
kaum Muhajirin mengadu kepada Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
tentang kemiskinan mereka, reaksi baginda juga sama. Muhajirin mengadu bukanlah
tentang kemiskinan yang menyeksa kehidupan, tetapi kemiskinan yang mengurangkan
peluang amal. Kurang peluang bersedekah dan membantu sesama ikhwah.
Daripada
Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, bahawa (di suatu hari) telah datang golongan
fakir dari kelompok Muhajirin kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam, lalu
mereka berkata: Orang-orang kaya beroleh darjat yang tinggi dan baik terpuji.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: apa yang kalian maksudkan?
Jawab mereka: Orang-orang kaya itu bersolat seperti kami bersolat, mereka berpuasa
seperti kami berpuasa. Mereka bersedekah tetapi kami tidak bersedekah kerana
tidak punya harta. Mereka membebaskan hamba abdi, tetapi kami tidak mampu
berbuat demikian…
Malah
keletihan menguruskan rumahtangga dengan kerja-kerja yang kasar dan berat oleh
Saidatina Fatimah radhiyallaahu ‘anha juga diberikan reaksi yang hampir sama
oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Lalu
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Mahukah kamu sekiranya aku
ajarkan kepada kamu satu amalan yang akan dapat menyamai orang-orang yang
sebelum kamu dan dapat mengatasi orang-orang yang sebelum kamu? Tiada seorang
pun yang lebih baik daripada kamu melainkan mereka yang melakukan amalan
sebagaimana yang kamu lakukan itu?
Apakah
yang bakal diajar oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada sahabat?
Kaedah
mengenal pasti peluang-peluang perniagaan?
Teknik
pertanian terkini untuk memajukan hasil bumi Madinah?
Strategi
pemasaran untuk meluaskan urus niaga mereka?
Tidak…
Apa
yang diajar oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah lebih penting
daripada itu semua. Kesemua yang disenaraikan di atas adalah perkara sekunder.
Sedangkan apa yang lebih utama, membetulkan suasana dalaman akal, hati dan
nafsu manusia.
Bahkan,
ajarkanlah kepada kami ya Rasulullah! Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
bersabda: Kamu bertasbih, kamu bertakbir dan kamu bertahmid setiap kali selesai
mengerjakan solat dengan bilangan tiga puluh tiga kali
Subhanallah…
Alhamdulillah…
Allahu
Akbar…
33
kali setiap satu setiap kali selesai bersolat…
Kalimah-kalimah
ini memang ringan di lisan dan berat di Mizan. Tetapi kehebatannya tidak
terhenti pada soal pahala Akhirat yang menjadi ‘matawang’ kita di Sana. Ia juga
mempunyai implikasi yang besar kepada diri manusia yang melaziminya pada
kehidupannya di dunia.
Kalimah
yang berkuasa tinggi.
Diucapkan
dengan emosi.
Diulang
33 kali.
Mustahil
ia sekadar soal pahala. Sebaliknya zikir itulah kunci untuk manusia miskin dan
susah bangkit dari segala keadaan itu kepada kehidupan yang lebih baik.
Cemerlang.
SUBHANALLAH
Apa
yang diSUBHANALLAHkan?
Maha
Suci Allah daripada sifat ZALIM dan menzalimiku hingga hidupku susah begini.
Maha
Suci Allah daripada sifat JAHIL hingga Allah tidak tahu tentang apa yang sedang
aku alami.
Maha
Suci Allah daripada sifat BUTA hingga tidak nampak penderitaan yang kutanggung
ini.
Maha
Suci Allah daripada sifat PEKAK hingga tidak mendengar keluhan dan doaku ini.
Maha
Suci Allah daripada segala kekurangan. Dan Allah yang Maha Sempurna itu, tidak
harus dinisbahkan kepada-Nya sebarang prasangka dan persepsi yang negatif.
Justeru
jika kemiskinan ini menjadi suatu kecelakaan ke atas diriku, maka bukanlah
kerana Allah mengurangkan pemberian-Nya, tetapi aku yang gagal memanfaatkan ‘modal
percuma’ yang diberi. Aku yang menjadikan kemiskinan itu keburukan.
Jika
kita berniaga dengan modal RM50 dan hasil jualan berjumlah RM70, ini bermakna
kita untung RM20. Berapakah modal yang kita keluarkan untuk memiliki tangan,
kaki, kepala, mata, telinga, otak, dan
tubuh badan ini sebagai bahan untuk mencari laba kehidupan?
PERCUMA!
Semuanya
diberikan oleh Allah dengan elok dan baik. Justeru pada saat aku merasakan
bahawa aku tidak memiliki apa-apa, aku masih punya sebab yang besar untuk
mengucap syukur atas keuntungan perniagaan hidup tanpa modal sendiri ini.
Alhamdulillah…
ALHAMDULILLAH
Segala
puji bagi Allah yang memberikan aku kehidupan untuk kuberjuang dalam kehambaan
kepada-Mu.
Segala
puji bagi Allah yang memberikan aku tubuh badan untuk tujuan itu.
Segala
puji bagi Allah yang mengurniakan aku akal hingga aku mampu berfikir sebagai
penghulu kehidupan.
Segala
puji bagi Allah yang rupa-rupanya mengujiku dengan kemiskinan agar terdesak
untuk bermuhasabah, terdesak untuk mencari kembali pemberian-pemberian yang
banyak dalam kehidupan, terdesak untuk mengubah cara hidup, terdesak untuk
bangkit dan seterusnya menjadi manusia yang lebih baik serta berjaya, di dalam
SYUKUR.
Alhamdulillah.
Subhanallah
telah meluruskan kepercayaanku, justeru datanglah makna yang besar tatkala aku
mengucap Alhamdulillah.
Benar-benar
segala puji itu adalah untuk-Nya.
ALLAHU
AKBAR
Tenang…
kecamuk jiwa beroleh damai. Kekusutan fikiran mula terungkai membentang jalan.
Janji Allah bahawa zikir kepada-Nya menganugerahkan rasa tenang, kini aku
benar-benar tenang. Allahu Akbar!
Indahnya
hidup berTuhan. Sentiasa ada sumber sandaran. Sandaran yang mencetuskan
keyakinan. Keyakinan yang menyuntik kekuatan. Kekuatan yang menjadikan aku
manusia miskin yang bangkit menuju kejayaan.
Allahu
Akbar!
Maha
Besar dan Maha Agungnya Dia, mengatasi segala-galanya.
Sesungguhnya
ZIKIR hanya mendatangkan tenang, apabila ZIKIR datang dengan FIKIR.
FIKIR
yang mendatangkan kejayaan, hanyalah FIKIR yang datang dengan ZIKIR.
Itulah
kehebatan aku sebagai Mukmin. Manusia ajaib yang tidak pernah berperasaan buruk
terhadap kehidupan, kerana baik sangkanya dia kepada Tuhan.
Diriwayatkan
oleh al-Imam Ahmad, daripada Suhaib radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata, suatu
ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk bersama para sahabatnya
dan tiba-tiba Baginda ketawa. (Melihatkan keadaan sahabat yang terkejut)
Baginda berkata: Apakah kamu tidak mahu bertanyakan aku apa yang menyebabkan
aku ketawa? Mereka berkata: Ya Rasulullah, mengapa engkau ketawa?
Rasulullah
sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Ajaib sungguh perihal seorang mukmin.
Semuanya baik belaka untuk dirinya. Jika dia mendapat sesuatu yang disukainya,
dia memuji Allah lalu hal itu menjadi kebaikan buatnya. Dan jika dia ditimpa
sesuatu yang dibencinya, dia bersabar. Lalu hal itu menjadi kebaikan buatnya.
Bukan semua orang yang boleh menjadikan segala perkara adalah baik untuknya
kecuali MUKMIN.
http://saifulislam.com/?p=5397
salam ziarah
ReplyDeleteSyukran...
ReplyDelete