Image by FlamingText.com
Image by FlamingText.com

header text

Ya Allah,berikanlah kepadaku kitabku(catatan amalku)dari tangan kananku dan janganlah Engkau berikan kitabku melalui tangan kiriku.Aaminnn...

Monday, December 13, 2010

Hiasi Percakapanmu


Semoga ALLAH Yang Maha Agung menolong kita supaya setiap perkataan yang kita ucapkan adalah baik. Sesungguhnya berbicara itu mudah, tetapi adalah berat bagi melaksanakannya. Mulut bagaikan muncung teko yang hanya tahu mengeluarkan isinya sahaja. Walau apapun yang kita katakan, ia menunjukkan siapakah diri kita yang sebenarnya. Contohnya, penghinaan kita terhadap seseorang sebenarnya menunjukkan kehinaan diri kita sendiri apabila dibandingkan dengan kehinaan orang yang kita hina.


Perkataan yang baik membuktikan keislaman seseorang. Sesungguhnya, setiap orang hendaklah memastikan kata-kata yang diucapakannya adalah benar-benar baik. Apabila kita tidak yakin dapat mengeluarkan kata-kata yang baik, berdiam diri adalah lebih baik. Berkata yang baik tentu bermanfaat apabila dibandingkan dengan berdiam diri. Tetapi, menghindari akibat daripada perkataan yang kurang baik lebih bermanfaat daripada memaksa diri berbicara yang mengakibatkan sesuatu yang buruk kepada diri sendiri mahupun orang lain.

Alangkah rugi apabila waktu kita dihabiskan sekadar berbicara berkaitan dengan perkara-perkara yang tidak penting. Kadang-kadang kita tidak mampu memastikan topik yang kita bicarakan itu bermanfaat ataupun tidak. Bahkan, sering kali kita tidak berdaya menghindarkan diri daripada perbualan yang berbaur fitnah, umpatan dan permusuhan.

Semoga ALLAH mengurniakan kepada kita kemampuan untuk menjaga lidah kita supaya sentiasa berbicara mengenai perkara yang bermanfaat.

Percayalah, diam itu emas. Orang yang sanggup memelihara lidahnya lebih hebat berbanding dengan orang yang suka menghamburkan kata-kata, tetapi kosong dan tiada makna. Sentiasa berusaha supaya setiap perkataan yang kita ungkapkan benar-benar bersih daripada perkara-perkara buruk yang tiada ertinya. Muhasabahlah diri selalu, di mana, bila dan dengan siapa kita berbicara supaya setiap perkataan yang terucap benar-benar bernilai dan tinggi maknanya.
                         
Karya: Aa Gym - Menjadi Muslim Terbaik



http://www.facebook.com/note.php?note_id=177607558933584

No comments:

Post a Comment