IBU
bapa mempunyai kedudukan sangat tinggi di sisi Allah sehingga Allah
memerintahkan kita berbuat baik kepada mereka berdua selepas Allah
memerintahkan kita mengabdikan diri kepada-Nya
Allah
berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak
menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik
kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)
Islam
menyanjung tinggi kedudukan ibu sehingga memberi penghargaan istimewa terhadap
pengorbanan dilakukan ibu kepada anaknya. Tanpa ibu siapalah kita. Tanpa ibu,
kita tidak akan wujud di dunia yang fana ini, anak kita tidak dapat hidup
dengan sempurna dan selesa.
Tanpa
ibu, kehidupan anak penuh dengan kesengsaraan. Justeru, ibu adalah insan paling
banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak-anaknya.
Ketika
mengandung, ibulah insan yang menanggung penderitaan selama sembilan bulan
sedangkan dia tetap meneruskan kandungannya dengan penuh kepayahan dan
keletihan. Ketika melahirkan anak, ibu saja yang menanggung kesakitan perit,
malah kadang-kadang sanggup menggadaikan nyawanya berjuang antara hidup dan
mati demi keselamatan anaknya.
Seterusnya,
selepas kelahiran anaknya, ibu juga yang menyusu dan mengasuh dengan penuh
kasih sayang bagaikan menatang minyak yang penuh selama beberapa tahun.
Kadang-kadang ibu terpaksa bersengkang mata sepanjang malam menjaga anak
tersayang dan apabila anak jatuh sakit.
Perjalanan
hidup yang dilalui ibu itu tidak ternilai harganya dan dihargai Allah sehingga
dirakamkan Allah melalui firman yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia
berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan
menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir
menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan
demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Hanya kepada-Ku
tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)
Maksud
ayat berkenaan menghargai pengorbanan ibu terhadap anaknya dengan menanggung
penderitaan ketika membesarkan anaknya, penderitaan ketika melahirkan anak dan
penderitaan ketika menyusu serta mengasuh anak.
Ibu
tidak pernah mengeluh mahupun berputus asa menghadapi semua penderitaan, malah
tidak pernah mengharapkan sebarang balasan dan ganjaran daripada anaknya.
Apa
yang penting bagi seorang ibu ialah melihat anaknya sihat sejahtera, hidup
dengan selesa dan sentiasa mendoakan anaknya berjaya dalam lapangan hidupnya
kelak.
Demikianlah
besar dan tingginya pengorbanan dicurahkan seorang ibu terhadap anaknya.
Tetapi, bagaimana pula pengorbanan anaknya untuk menghargai pengorbanan dan
membalas balik jasa ibu yang tidak terhitung itu. Inilah suatu persoalan yang
wajib direnung setiap anak apakah mereka sudah menunaikan kewajipan terhadap
ibunya.
Perlu
diinsafi, ibu adalah insan yang tinggi kedudukan dan martabatnya di sisi Islam
sehingga Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa syurga itu berada di bawah
telapak kaki ibu. Ia bermakna seseorang anak sudah pasti tidak dapat masuk
syurga tanpa keredaan ibunya walaupun sebaik mana sekalipun amal salih yang
dilakukannya.
Pernah
berlaku pada zaman Rasulullah SAW, seorang pemuda bernama Alqamah tidak dapat
mengucap dua kalimah syahadah kerana ibunya, perlu menjadi bahan renungan setia
anak pada zaman moden ini.
Alqamah
adalah seorang pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak
berpuasa dan bersedekah. Tetapi, Alqamah dikatakan lebih mengutamakan isterinya
berbanding ibunya lalu ibunya makan hati berulam jantung dan tersinggung dengan
perbuatan anaknya. Akibatnya, Alqamah tidak mampu mengucapkan dua kalimah
syahadah pada penghujung hayatnya.
Akhirnya
Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah hidup-hidup di hadapan ibunya
jika ibunya tidak memaafkannya. Akhirnya tindakan Rasulullah SAW itu
menyebabkan ibunya segera memaafkannya dan Alqamah dengan mudah mengucapkan dua
kalimah syahadah.
Selepas
dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi
kuburnya lalu bersabda bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang
lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya
laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya.”
(Hadis riwayat Abu al-Laith)
Kisah
Alqamah dengan ibunya mengajar kita betapa seorang ibu sanggup berkorban apa
saja dalam dunia demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya. Oleh sebab itulah,
Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak ibu dan melayani ibunya dengan
sebaik mungkin.
Dalam
pada itu, Islam mengharamkan anak daripada melakukan sesuatu yang boleh
menyakit dan menyinggung perasaan ibu. Pendek kata, ibulah insan paling berhak
mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan dilakukannya.
Bukankah
Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud: “Ya
Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah SAW:
Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu.
Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu.
Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.”
Hadis
Rasulullah SAW ini mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada
ibu mengatasi berbakti kepada orang lain, walau kepada bapa sekalipun. Malah,
Rasulullah SAW menyebut berbakti kepada ibu sebanyak tiga kali berturut-turut
dalam hadis itu, barulah Baginda menyebut berbakti kepada bapa, sekali gus
menunjukkan betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu terhadap anak.
Walau
bagaimanapun, kita tidak seharusnya melupakan peranan bapa bagi menjamin
keselesaan dan kebahagiaan hidup sesebuah keluarga. Justeru, kita seharusnya
menghormati dan menyayangi ibu kita tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kasih
sayang terhadap bapa.
Begitu
juga sebaliknya, kita memberikan penghormatan dan kasih sayang kepada bapa
tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap ibu. Ibu bapa
berperanan besar dalam membentuk kehidupan, kelangsungan dan kebahagiaan anak
mereka.
http://www.facebook.com/note.php?note_id=169207209773619
No comments:
Post a Comment