Apabila
menyebut tentang menutup aurat, maka si penyebut biasa dikaitkan dengan gelaran
ustaz, orang alim, orang agama dan sebagainya. Ia seolah menjadi satu frasa
yang khusus untuk orang alim sahaja seolah-olah menyebut tentang sesuatu yang
diajar didalam agama itu milik orang alim dan bukannya orang Islam.
Aurat
dan seksi adalah dua perkataan yang mempunyai banyak hubungan dalam kebanyakan
artikel dan penulisan seluruh dunia. Menyebut tentang aurat, pastinya perkataan
seksi adalah lawan baginya. Begitu juga apabila menyebut tentang seksi, sudah
pasti ia adalah perkara yang membuka aurat. Saya tidak boleh menafikan perkara
tersebut. Itulah adalah perkara yang sekian lama bermain di benak semua orang.
Tapi
pernahkah anda terfikir bahawa menutup aurat itu seksi? Bagaimana pula menutup
aurat boleh menjadi seksi? Bukankah menutup aurat itu bererti menghilang status
seksi?
Disinilah
ingin saya sampaikan satu skop pandangan seksi terhadap mereka yang menutup
aurat dan sebenarnya seksi inilah yang banyak menarik perhatian ramai lelaki
tidak kira sama ada mereka mempunyai iman atau lelaki dari golongan 'buaya
darat'.
Didalam
kajian psikologi, lelaki sebenarnya mempunyai nafsu fantasi lebih kepada wanita
yang menutup tubuh berbanding yang membuka dan mendedahkan aurat. Mengapa ia
terjadi sedemikian?
Ini
adalah kerana sesuatu yang sukar dilihat,tersembunyi atau diperolehi adalah
sesuatu yang berharga. Kerana itu kebanyakan blog atau web yang menggunakan
topik wanita muslim bertelanjang sering mendapat respon daripada lelaki bukan
Islam dari seluruh dunia. Tetapi selalu yang dipaparkan ialah gambar daripada
model yang berpakaian ala Islam kerana hakikatnya wanita muslim sejati tidak
akan berbuat demikian.
Cuba
kita singkap betapa komuniti yang sudah tegar dan agak biasa dengan situasi
wanita yang membuka aurat menganggap wanita muslim mempunyai aset yang bernilai
kerana menyimpan keindahan kecantikan fizikalnya hanya kepada yang berhak.
Ia
sebenarnya adalah konsep nilai yang ada pada amalan itu sehingga amalan menutup
aurat yang samasekali berlawanan dengan seksi itu, dianggap seksi pada kelasnya
yang tersendiri.
Lelaki
barat atau bukan Islam sebenarnya manusia biasa seperti lelaki Islam. Mereka
punyai nafsu dan perasaan. Nafsu mungkin menyeronokkan mereka melihat
gadis-gadis mereka berpakaian seksi tetapi jauh di sudut hati ada perasaan
cemburu bila gadis yang sudah menjadi kekasih atau isteri dipuji orang kerana
keseksiannya.
Konsep
Islamophobia sebenarnya banyak menutup mulut lelaki bukan Islam di seluruh
dunia mengakui bahawa wanita muslim adalah wanita yang paling seksi di dunia.
Ini adalah kerana amalan menutup aurat itu begitu istimewa kepada pemilik
wanita itu iaitu suaminya kerana hanya dia seorang yang berhak menikmati
keseksian isterinya.
Sedar
atau tidak, seksi yang ditafsirkan pada mata kepala sedia ada adalah hanya satu
perkara yang menarik perhatian berasaskan nafsu. Berbeza dengan seksi dalam
ertikata Islam iaitu menarik perhatian seorang lelaki kepada perempuan itu
dalam ertikata yang lebih meluas meliputi maruah, ketaatan, kesungguhan
memelihara aurat, memelihara kecantikan untuk hanya yang berhak dan sebagainya.
Tiada
bezanya tentang perempuan yang menutup aurat dan membuka aurat dari segi
fizikal. Mereka tetap berambut, bertangan, mempunyai mata yang cantik, kulit
yang tersendiri dan sebagainya. Kecantikan itu tetap sama, sama ada mereka
menutup atau membuka aurat. Tetapi nilai itu yang membezakan mereka. Menutup
aurat memang susah dan bukannya perkara mudah. Jauh di sudut hati wanita
menutup aurat itu, ingin menayangkan kecantikan mereka kerana wanita seksi
sering mendapat perhatian. Kerana itulah melawan nafsu dan keadaan itu adalah
susah. Kerana itulah juga wanita menutup aurat itu sebenarnya melatih diri
menjadi seorang yang sabar, berpendirian, tabah, bermaruah dan tekun kerana
kesungguhan melaksanakan perintah Allah ini serta melawan kehendak nafsu
sendiri dan nafsu orang lain.
Allah
itu Maha Bijaksana. Apabila seorang gadis terlalu cetek pemikirannya
mengeluarkan kenyataan sukar untuk menarik perhatian lelaki sekiranya
berselubung berbanding memperlihatkan sedikit kecantikan wanita, maka mereka
tidak dapat melihat, tarikan itu umpama gula yang menjemput semut. Habis gula
semut pun hilang.
Berkasih-kasihan
adalah perkara yang datang dengan tanggungjawab. Apabila tarikan yang diberi
memperlihatkan tanggungjawab seorang wanita memelihara kecantikan diri dan
agama, maka umpan itu ikannya ialah seorang lelaki yang mahukan pasangan yang
bertanggungjawab menjaga maruah dan kecantikan keluarga.
Menutup
aurat hakikatnya adalah iklan terbaik bagi wanita untuk memperoleh lelaki
sedemikian rupa. Soal sikap adalah perkara kedua. Ada yang mengatakan tidak
semua wanita membuka aurat itu jahat. Itu adalah hakikat yang benar.
Membuka
aurat bukan menggambarkan seorang itu jahat kerana tidak kurang wanita yang
menutup aurat yang berhati busuk. Itu adalah soal hati. Tetapi seorang wanita
yang baik hati dan menutup aurat itu lebih dipandang mulia kerana mempunyai
pakej yang lebih lengkap.
Sepertimana
makanan yang terhidang di atas meja tidak bertudung saji, ada kemungkinan lalat
datang menyinggah. Pada pandangan mata, mungkin makanan itu telah dicemari
lalat. Berbeza dari makanan yang bertudung saji, akan memberikan lebih
keyakinan kepada orang untuk menjamahnya.
Usahlah
dibangkitkan persoalan adakah wanita menutup aurat itu semua baik, kerana
hakikatnya mereka telah membuat kebaikan dengan mentaati perintah Allah.
Tanyalah
diri, mengapa aku boleh berbuat baik kepada manusia tetapi sukar untuk berbuat
baik kepada Tuhan. Samalah juga jika kita melanggar lampu merah di
jalanraya.Bukan semua yang melanggar lampu itu jahat dan bukan semua yang
mengikut peraturan itu baik. Namun melanggar peraturan itu tetap satu perkara
yang salah. Wallahu'alam.
-
Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment