Wanita
tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan,
cinta itu anugerah.
Mengapa
wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia
begitu memukul-mukul kepala.
Ya,
apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya
kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah
lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata
kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam
perkenalan.
Saya
mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu
gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya
memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia
terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia
sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi
saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.
Dia
tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu,
dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan
dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan,
saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta
tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia
datang seperti api.
Tetapi,
jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan
didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki
yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut
selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi
lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat,
membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik,
membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali
selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang
halal lagi dirahmatiNya.
Dia
akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah
itu yang lebih mengetahui.
Kawan,
kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung
yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun,
tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang
cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima
kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana
apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang
hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya
berbaring di bahu kita.
Kerana
itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang
merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga
berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya,
lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi
lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya
pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti
ada.
Barangkali
daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya
agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi
yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan
keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia
tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun
tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia
tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali
sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang
menemui ibu bapa.
Bercakap
soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak
zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah
disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga
mereka tak tersalah pilih.
Dan
semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami
isteri.
Wanita,
kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini
tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari
rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana
benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari
seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih
sayang dengan bapa.
Dan
kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini
diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga
mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah
kaki.
Tetapi
kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat
kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan
untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk
dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk
ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai
lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran
sepanjang perjalanannya.
Tetapi
kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja
diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak
selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita
mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang
dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga
jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi
kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang
baik..InsyaAllah...
Artikel
nie diambil dari
http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/835-mengapa-wanita-memerlukan-lelaki.html
No comments:
Post a Comment